BHG 2  :  SULTAN-SULTAN MELAYU YANG BERTARAF ULAMA’




Salah satu sumber kekuatan Orang Melayu di zaman dahulu kerana raja-raja nya sangat alim dan kuat beragama, mereka adalah raja-raja yang tidak sanggup mengadaikan maruah,harga diri dan tanah air demi pangkat dan kemewahan dunyawi. Sultan-sultan di Jawa di bawah bimbingan Wali Songgo seperti Raden Fatah@1518,Sultan Syarif Hidayatullah, Sultan Zainal Abidin dari Ternate di Maluku, Sultan Babulllah@1570 merupakan susuk-susuk pemerintahan yang terdiri dari para ulamak yang alim yang mengsasarkan dasar pemerintahan kepada menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Begitu juga di Tanah Melayu.


SULTAN ZAINAL ABIDIN KE 3 TERENGGANU, SULTAN YANG MAHIR ILMU FALAK……….

Di Negeri Terengganu Darul Imam, lahir seorang raja bertaraf ulama ia itu Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan Terengganu ke sebelas yang memerintah Terengganu Darul Iman dan segala jajahan takluknya pada tahun 1881 hingga 1918. Baginda digelar “Sultan Regu Ulama” kerana keakraban baginda dengan ulama-ulama Terengganu ketika itu, khususnya Syeikhul Ulama Terengganu, Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Peribadi baginda digambarkan dengan jelas pada Syair Tun Humpreys (Syair Tuan Humpreys) yang dikarang oleh Hajjah Wook Aishah Binti Haji Idris menyatakan pula:

Adapun nama Sultan Paduka
Sultan Zainal Abidin yang ke tiga
Di dalam negeri jadi mastika
Memerintah jajahan takluk belaka

Rajanya alim lagi jauhari
Kitab Quran lagi pelajari
Alimnya tidak lagi terperi
Termasyhurlah khabar ke sana ke mari

Soleh dan Warak lagi pendita
Bijak laksana jangan dikata
Masyhurlah khabar di dalam warta
Di Alam Melayu sekalian rata

Perangainya alim, tangannya murah
Sekalian kasih memandang wajah
Cukup faham Ilmu Arabiyyah
Baginda nan gemar Ilmu Falakiyah

Baginda sangat cenderung kepada ilmu pengetahuan agama dan menunjukkan minat luar biasa terhadap ilmu pengetahuan. Beginda mempunyai ramai guru, antaranya:Habib Umar Al-Attas (Guru Bahasa Arab),Haji Wan Abdullah Bin Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyong),Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad (Tok Ku Paloh),Syed Zainal Abidin Bin Syed Muhammad,Haji Zainal, Kampung Banggol,Haji Wan Muhammad Bin Wan Ali, Kampung Gedung,Haji Wan Abdul Latif Bin Abdullah Losong,Haji Musa Atas Tol, Haji Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abdul Kadir Bukit Bayas,Syed Abdul Rahman Al-Haddad. Baginda juga pernah mengajar agama, terutamanya di Masjid  Al ‘Abidin, juga  terdapat banyak kitab-kitab agama di dalam simpanan baginda. Ada yang sempat disimpan, ada pula yang diwakafkan oleh putera puteri baginda kepada khutub khanah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Baginda menyambut dan memberi layanan kepada alim ulama yang datang ke Terengganu, menawarkan ruang di istana dan membuka istana untuk dijadikan tempat pengajian agama. Ini digambarkan oleh Ustaz Muhammad Saleh ketika menceritakan perihatl gurunya As-Syeikh Muhammad Saleh Bin Muhammad Taib, Syeikul Islam Perak Darul Ridzuan ketika melawat Terengganu pada 1890an. Baginda juga memperkenalkan undang-undang kecil Islam bagi  mempermudahkan pelbagai urusan. Negeri Terengganu ketika ini menyaksikan pertambahan perdagangan dan jumlah pedagang yang tiba di Kuala Terengganu bertambah. Alim ulama dan cendekiawan cenderung untuk berhijrah dan mengajar di Terengganu disebabkan kemudahan yang disediakan oleh Sultan Terengganu.

Baginda mangkat pada 21 Safar 1337 bersamaan 25 November 1918, pagi isnin. Pada malam isnin, baginda masih dalam keadaan sihat dan boleh bangun bersiar-siar di istana, memerhatikan rakyat yang menghadiri majlis ratib masuk ke dalam kota. Baginda sendiri mengurniakan sedekah kepada setiap pasukan ratib yang masuk ke dalam kota. Kira-kira jam 11 malam, baginda merasa sesak nafas. Pada jam 5 pagi, meriam ditembak, menandakan kemangkatan baginda. Peristiwa ini dicatatkan jelas dan diceritakan jelas oleh penduduk Kuala TerengganuNama baginda diabadikan pada institusi dan tempat di Terengganu, sebagai tanda peringatan terhadap baginda. Antaranya:Universiti Kolej Sultan Zainal Abidin (dahulunya Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin – KUSZA) dan Sekolah Menengah Agama (atas dan bawah) Sultan Zainal Abidin.

SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH BIN RAJA MUDA MUSA @SULTAN SULAIMAN DARI SELANGOR, RAJA YANG MENGARANG KITAB AGAMA.

Seorang  lagi sultan  yang juga alim dan sangat mengasihi ulama ialah Sultan Selangor iaitu Sultan Sulaiman. Nama lengkapnya ialah Sultan Alauddin Sulaiman Shah bin Raja Muda Musa bin Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah bin Sultan Ibrahim Shah bin Raja Lumu (Sultan Salehuddin Shah, Sultan Selangor yang pertama) bin Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda Riau yang kedua). Sultan Sulaiman lahir pada 19 Rabiul Akhir 1282 Hijrah/11 September 1865 Masihi dan mangkat pada 30 Muharam 1357 Hijrah/31 Mac 1938 Masihi (sama tahun kemangkatannya dengan Sultan Iskandar Shah Perak). Baginda merupakan Sultan Selangor ke-5 yang memerintah Selangor selama 40 tahun iaitu dari tahun 1898 hingga tahun 1938 Masehi. Baginda menaiki takhta menggantikan nendanya, Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah yang mangkat dalam tahun 1898 setelah memerintah Selangor selama 41 tahun. Sama seperti Sultan Iskandar Shah, Sultan Sulaiman juga sangat suka berapit dengan ulama. Dizaman baginda, seorang ulama besar dari Patani iaitu Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani telah dilantik menjadi Syeikhul Islam. Dengan Syeikhul Islam inilah, Sultan Sulaiman mendapatkan pandangan khususnya tentang pentadbiran dan penyebaran agama di seluruh negeri Selangor pada waktu itu. Bahkan jika berkunjung ke luar negara pun, Sultan Sulaiman tetap membawa Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani agar mengikuti baginda dalam dalam rombongan baginda. Syeikhul Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi al-FathaniSultan Sulaiman sangat mementingkan kemajuan Islam di negerinya. Baginda membina sebuah masjid yang diberi nama dengan nama baginda iaitu Masjid Alauddin di Kuala Langat, Selangor. Sebagai ketua agama Islam, baginda sendiri berdiri membaca khutbah Jumaat, khutbah kedua-dua hari raya; Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam kesibukannya memerintah negeri Selangor, baginda sempat meluangkan masa mengarang dua buah kitab iaitu

Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman dan

Kitab Melatih Kanak-kanak Laki-Laki dan Perempuan

Agama Islam 1. Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman selesai ditulis oleh baginda pada tahun 1337 H/1919 M. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah New Klang Press, Klang pada 15 Jamadilakhir 1349 H/1930 M. Kitab ini telah disemak oleh Syeikhul Islam iaitu Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan, Agama Islam 1, diselesaikan oleh baginda di Istana Mahkota Puri, Kelang pada 3 Zulhijjah 1348 H Kitab ini pernah dicetak oleh The Boon Hua Press, Kelang pada tahun 1349 H/1930 M. Kandungan kitab ini adalah tentang ilmu tauhid dan disasarkan kepada kanak-kanak yang baru hendak belajar di dalam sekolah agama. Kitab ini juga telah disemak oleh Haji Mahmud Zuhdi al- Fathani. Seperti yang dicatat oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Selain memuji kandungan karya, Haji  Mahmud Zuhdi al-Fathani juga memuji baginda sultan, katanya, ``... padahal ia daripada karangan orang yang mempunyai akal yang sempurna. Dan tinggi hemah pada meneguhkan tiap-tiap pekerjaan yang berguna. Iaitu mereka yang menghamparkan atas rakyatnya naung kurnia. Dan aman hadhrat yang mentadbirkan dan memerintahkan negeri Selangor Darul Ehsan Yang Maha Mulia Maulana as-Sultan Sir Alauddin Sulaiman Syah ibni al-Marhum Maulana al-Mu'azzam Raja Musa. Nama baginda telah di abadikan di sebuah masjid di Bandar Kelang dengan nama Masjid DiRaja Sultan Suleiman. Masjid ini telah dibina pada tahun 1932 sempena pengisytiharan Kelang sebagai pusat pentadbiran negeri Selangor. Perasmian masjid ini telah di sempurnakan oleh baginda sultan sendiri pada tahun 1934 dan dikenali dengan nama Masjid Suleiman Jamiur Rahmah. Masjid ini pernah dijadikan masjid negeri Selangor sehinggalah terbinanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Pada masa ini ia dimasyhurkan dengan nama Masjid Diraja Klang.

SULTAN YANG MENJALANKAN TUGAS KADI, SULTAN ISKANDAR SHAH PERAK. (1938m)

Sultan Iskandar Shah Perak juga merupakan seorang Sultan yang sangat menitik beratkan urusan agama dikalangan rakyat baginda. Baginda juga gemar mendampingi guru-guru agama dan baginda pernah berguru dengan Shaikh Haji Mohammad Salleh di Istana Bukit Chandan Perak. Sultan Iskandar disebut begitu kasihkan gurunya itu sehinggakan baginda sering bersantap dengan tokoh agamawan tersebut. Disebabkan oleh dorongan daripada baginda keatas usaha pengembangan agama Islam di Perak, beberapa tokoh agama telah memilih untuk menubuhkan institusi-institusi Islam di Perak antaranya Maahad Ehya Al Syariff Gunung Semanggol, Al Huda Matang Kunda, Madrasah Irsyadiah dan Al Ulum di Bagan Datuk, Al Akhlak Islamiah Masjid Tinggi, Bagan Serai serta banyak lagi sekolah agama yang lain. Baginda turut melantik seorang alim ulama agama Islam bernama Shaikh Muhammad Saleh yang berasal dari Minangkabau, Sumatera, untuk menjalankan kerja-kerja tabligh di Teluk Anson (sekarang dinamakan Teluk Intan). Sheikh Muhammad Saleh digelarkan Sheikhul-Islam (pangkat itu sesama dengan mufti sekarang) bagi Negeri Perak.

Baginda juga sering mengunjungi masjid-masjid serta surau-surau diserata negeri Perak dan baginda sering memberi titah mengenai agama Islam kepada rakyat jelata. Sultan Iskandar juga terkenal tegas dalam beragama. Terdapat kisah dari orang-orang tua di Teluk Intan yang menyebut Sultan Iskandar pada bulan Ramadhan pernah memakai kan rantai  leher dan juga memberi denda dengan memerintahkan orang yang makan dikhalayak ramai sewaktu bulan puasa agar memakan rumput di padang Teluk Ansoni atau disuruh berlari keliling padang dengan disaksikan oleh orang ramai. Baginda juga pernah bertitah kepada rakyatnya bahawa celakalah seseorang lelaki itu jika tidak menghadiri Solat Jumaat tanpa sebab. Baginda sendiri turut memantau rakyat baginda yang tidak menghadiri solat Jumaat. Di muka surat 121 dalam Risalah Iskandar, disertakan salinan surat baginda kepada Setiausaha Sulit baginda Y.A.M. Raja Harun Al-Rashid, titah baginda:

“Adinda Raja Harun , boleh khabarkan kepada kadi-kadi dan penghulu-penghulu wajiblah mereka bersungguh-sungguh menyuruh anak buah mereka di dalam jajahan masing-masing membuat sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat dan dikehendaki mereka itu menghantar repot di atas perkara ibadat ini pada tiap-tiap tiga bulan sekali. Mana-mana rakyat beta yang tidak mahu sembahyang lima waktu dan Jumaat boleh mereka itu menghantar nama orang itu kepada kekanda dengan seberapa segera dan kekanda boleh pergi di mukim itu bicarakan hal itu. Siapa siapa kadi-kadi dan penghulu-penghulu yang bantah atau kurang usahanya di atas pekerjaan ini Insya Allah nanti mendapat susah yang besar sekalian naib-naib yang wajib menjalankan ini adanya. Tamat.”

Ketegasan baginda juga terserlah apabila di Lambor Kanan, baginda pernah meletakkan tangan agak keras ke perut seorang pengembang ajaran sesat dan bertitah dengan penuh kemurkaan, ” Iblis bersarang di perut kamu!” Tidak lama beberapa hari selepas itu orang itu pun meninggal dunia. Menarik mengenai Sultan Iskandar ini juga ialah baginda pernah menguji ulama-ulama di Negeri Perak.

Pernah terjadi  pada suatu hari Paduka Seri Sultan Iskandar Shah telah memanggil para ulama Perak untuk berbuka puasa di Istana. Belum pun tiba waktu berbuka, Baginda telah menyeru kepada semua yang hadir supaya menjamah makanan. Kesemua dari mereka yang hadir terdiam tidak berani membantah. Namun kemudian Haji Nawawi bangun memberitahu kepada baginda dengan kata-kata : “Jikalau Tuanku hendak masuk neraka, masuklah seorang”. Baginda memuji keberanian Haji Nawawi menegur Baginda dan kemudian memarahi ulama-ulama yang membisu dengan titah “Nasib baiklah di Negeri Perak masih ada orang yang berani menegur beta!”. Keberanian baginda membendung kemungkaran telah menginsafi rakyatnya sehingga mereka tidak berani untuk berbuat maksiat secara terang-terangan. Setelah memerintah Negeri Perak dengan penuh gemilang selama hampir 20 tahun, baginda akhirnya mangkat dijemput Ilahi pada 14 Ogos 1938 dan dimakamkan di Makam Perkuburan Diraja Al-Ghufran Kuala Kangsar. Sesungguhnya baginda telah meninggalkan nama yang harum diatas watak dan keperibadian agung baginda yang menjadi contoh buat rakyat jelata. Di atas kenang-kenangan buat Almarhum Sultan Iskandar, kami kepilkan bersama nasihat baginda didalam Risalah Iskandar yang dikarang oleh baginda sendiri;

“… maka siapa-siapa Raja-raja, Orang-orang Besar, Kadi-kadi dan Penghulu-penghulu hendak digemar dan disukai oleh Rajanya hendaklah mereka itu taat dan bersungguh menjalankan perkara yang dituntut oleh Tuhan dan meninggalkan perkara yang ditegah oleh Tuhannya. Maka hendaklah mereka itu menegur ajar kepada anak buah mereka itu diatas perkara-perkara tersebut… Maka hendaklah mereka itu ingat pada zaman ini. Inilah perkara kegemaran kami.. Silalah Tuan-tuan buat”.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "BHG 2  :  SULTAN-SULTAN MELAYU YANG BERTARAF ULAMA’"

Posting Komentar